Sunday, December 16, 2007

The World is Getting Smaller

Sebelum saya terus meluahkan perasaan saya, saya ingin membawa sahabat-sahabat sekalian menghayati satu lagu popular Inggeris tahun 60-an. Namun begitu, saya nasihatkan agar sahabat-sahabat sekalian tidak terkejut dan membaca tulisan saya ini sekerat jalan hanya disebabkan mesej kurang sihat masyarakat barat yang ada dalam lirik lagu ini, sebaliknya saya minta sahabat-sahabat sekalian baca sehingga habis kerana setiap bahagian, yang awal dan yang akhir, masing-masing mempunyai hubungan. Semoga terhibur.

Mark Dinning - The World is Getting Smaller Chorus: Dum Diddly-Hi-Dee Dum Diddly-Aye, where can you hide away? Dum Diddly-Hi-Dee Dum Diddly-Aye, where can you hide away? 1. The world is getting smaller, the population grows, Where, Oh where can sweethearts go when they want to be alone? Out to the park we went walking to a quiet spot by the lake, We found some kids playing cowboy there and they wouldn't go away - So no romance that day Chorus 2. We thought that we had the answer - a drive-in movie we planned But the only place we could find to park was next to the pizza stand - And that's a busy stand.... Chorus 3. The world is getting smaller, the population grows, Where, Oh where can sweethearts go when they want to steal a kiss? To Lovers' Lane we went driving, when we parked, what did I find? My own kid sister was in the car that was parked by next to mine - And love withered down the line...... Chorus Where can you hide away? Where can you hide away? Where can you hide away? (fade out)


Dulu dan kini...

Saya tidaklah tahu gambaran masyarakat terdahulu bagaimana, namun saya rasa agak menarik jika benar lagu ini menggambarkan keadaan masyarakat terdahulu, sekurang-kurangnya ia dapat menggambarkan zaman 60-an kerana lagu ini popular sekitar waktu berkenaan.
Rasanya tidaklah perlu diulas secara terperinci senikata lagu ini. Bolehlah kita buat kesimpulan melalui lagu ini, bahawa pasangan kekasih sukar dan malu untuk berdua-duaan dan bermanja di zaman itu (itu di barat, saya buat kesimpulan awal - di timur lagi sukar).

Namun kini, angin telah berubah arah, kira-kira 180 darjah perubahannya,menongkah arus lalu. Si kumbang dan Si bunga ada di mana-mana. Si kumbang hilang segan, Si bunga hilang silu, bermesra tanpa menghiraukan kelibat mereka yang di sekeliling. Mereka yang di sekeliling yang mencari ketenangan seperti saya. Mereka yang di sekeliling yang masih kanak-kanak yang kurang sesuai untuk didedahkan dengan perbuatan. Mereka yang di sekeliling yang tidak gemar dengan tingkah laku kumbang dan bunga ini. Dan tambah mengejutkan ianya berlaku di rantau timur yang terkenal dengan adat resam dan kesopanan.

Pelayaran "Sahabat Gua"
Saya dan beberapa sahabat pergi berkelah di kawasan yang jauh. Niat kami, nak lari dari kesibukan bandar, nak lari dari tingkahlaku manusia yang kotor, nak cari damai di tempat terasing, nak cari jalan menggapai redha Allah. Seperti Nabi berkhalwat di Gua Hira', seperti Ashabul Kahfi yang lari ke satu gua demi menyelamatkan iman. Kami nak jadi "Sahabat Gua". Cadangan kami nak beribadah di tempat sunyi itu, sambil menikmati pemandangan sekeliling, melihat keagungan ciptaan Allah.

Namun lain pula yang menarik perhatian. Tidak mampu dinafikan, kelibat pasangan-pasangan Si kumbang dan Si bunga, itu sahaja cukup untuk mengalihkan tumpuan Sahabat Gua dari tujuan asal. Namun tak cukup dengan itu, macam-macam lagi dugaan, macam-macam fasad di atas muka bumi. Mungkin dugaan yang paling mencabar buat Sahabat Gua ini ialah melihat Si kumbang yang ingin jadi Si bunga. Hahaha, memang agak lucu bila mengenangkan kembali peristiwa itu. Namun rasa sedih jualah yang menyelubungi diri ketika itu. Sedih melihat kerosakan umat sedangkan diri masih lemah.

Dunia Semakin Kecil

Berbalik kepada lagu di atas, penulis lirik menceritakan dunia ini semakin kecil buat pasangan kekasih. Realitinya yang berlaku ialah dunia masih lagi kecil waktu itu buat mereka kerana kini yang berlaku dunia mereka adalah luas. Mereka mampu untuk bermanja mesra di mana-mana sahaja kerana terkikisnya sifat malu.

Lagu ini sepatutnya ditujukan buat Sahabat Gua. Dunia merekalah yang semakin kecil. Mereka makin sukar untuk mencari gua yang sempurna bagi menyempurnakan niat suci mereka.

Rasulullah saw bersabda; “ Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)



Wednesday, December 12, 2007

Warkah Dzulaikha

-WARKAH DZULAIKHA-



Sahabatku Khadijah!

Pada waktu surat ini saya perbuat,langit jernih dan udara nyaman. Saya duduk dalam kesepian, perempuan-perempuan dalam rumahku ke tengah sawah. Aku teringat akan dikau sahabatku, ingin benar hatiku hendak datang ke Bandar Kuala Lumpur menemuimu, tetapi kesempatanku tak ada.Izinkan aku untuk mengucapkan tahniah atas kejayaanmu terlebih dahulu. Semoga engkau akan terus berjaya dalam hidupmu.

Pada waktu ini juga, aku percaya, telah sampai ke telinga saudari, perkhabaran tentang diriku. Benar Khadijah, peluang untuk aku melanjutkan pelajaranku ke tanah Kaherah hampir musnah. Aku sekadar memperoleh 11 mata daripada 12 mata yang telah penajaku peruntukkan. Aku telah mendapat A dalam subjek ilmu hisab, namun C dalam subjek fizik dan kimia. Harapanku untuk bersamamu di bumi Mesir hanyalah bergantung kepada keputusan semakan semula kertas kimiaku. Perjalanan ini terasa amat menyedihkan. Pilu melanda jiwaku kerana impian kita untuk belajar bersama seolah-olah semakin pudar. Hatiku seolah-olah telah karam dilanda ombak besar. Memang sukar aku gambarkan padamu perkara yang bermain-main dalamnya ketika ini.

Namun perasaan itu hanyalah secebis yang kecil. Kita hanya manusia yang lemah, Tuhan yang kuasa jugalah yang punyai kekuatan dan kekuasaan dalam menentukan laluan hidup hambaNya di dunia. Sudah menjadi adat seorang hamba menerima arahan Tuannya dengan redha dan berserah. Sebahagian besar perasaanku berasa redha dan amat bersyukur kerna Tuhan Ar-Rahman Ar-Rahim telah menerangi lagi jalan hidupku yang sebelum ini malap. Jalan untuk aku menuju cita-citaku semakin jelas. Walaupun laluannya tidak sama dengan apa yang kuharapkan sebelum ini, ianya tetap menjadi semakin terang. Dia telah bawakan aku dari kegelapan kepada nur dengan jalan kegagalan ini.

Saudariku!

Sepeninggalan saudari ke sana, usahlah saudari melakukan silap aku sebelum ini. Jangan engkau bermain-main ketika masih di bangku pengajianmu. Nafsu egoku mudah menewaskan aku. Aku menangguh-nangguh kerjaku. Tidak aku pautkan sepenuh hatiku pada pelajaranku di kelas. Aku ingkar akan pesanan ayah bonda yang menyuruhku bersunguh-sungguh dalam belajar. Aku cuba buktikan pada dunia jalan menuju kejayaan itu mudah seperti laluanku sebelum ini. Kini barulah aku tahu aku silap. Redha Tuhan itu pada redha ayah bonda. Tuhan telah hukum aku di dunia lagi agar aku belajar. Telah aku minta ampun dari mereka berdua. Telah aku minta ampun dari Tuhan Al-Ghafur Ar-Rahim. Telah aku panjatkan do'aku kepadaNya agar aku tidak mengulangi sejarahku ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal sekarang tiada gunanya. Kerap kali aku berpesan kepada hati kotor ini: "jangan engkau ulangi kesilapanmu, ketahuilah bahawa orang beriman tidak melakukan kesilapan berulang kali. Tidak guna lagi bersedih, senyumlah wahai hati kerna Allah telah aturkan perkara yang lebih baik buatmu tatkala ini."

Kawanku!

Perasaan hiba sebelum ini terpadam segera dengan sedikit riadah bersama saudaraku serta zikir munajat dan sujud syukur kepadaNya. Sesungguhnya Dia mahu hidupku diteruskan. Pepatah orang Mengkasar sudah cukup: "anak laki-laki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya adalah untuk berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tidak boleh surut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang". Memang benar, anak lelaki yang disebut, tapi itu dahulu, zaman sebelum merdeka, zaman mana anak-anak perempuan, tempatnya di rumah. Sekarang zaman globalisasi. Kaum Hawa juga harus bangkit meredah gelombang itu. Aku juga harus bangkit walau di mana pun aku jatuh. Ketahuilah bahawa Dia mahukan aku merancang bagaimana aku mahu mencapai impian hidupku kelak walau dengan jalan mana sekalipun.

Tahukah engkau wahai Khadijah, sahabat sehidup sematiku, baru semalam aku habiskan bacaan buku yang aku khabarkan kepadamu dalam suratku sebelum ini, buku nukilan Hamka- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Memang tidak aku sangka-sangka, kisah Zainuddin dalam buku itu seolah-olah memberitahu aku apa yang aku harus lakukan. Zainuddin berhadapan dengan 1001 malang dalam hidupnya. Kerana adat, dia dianggap sebagai miskin yang asing walau mana pun dia duduk, dan kerana adat jualah kekasihnya, Hayati dinikahi dengan saudara lain. Hatinya retak seribu, perasaannya sedih. Dia hampir-hampir bunuh diri, dia menjadi gila buat sementara. Namun, dia tidak mengalah begitu mudah. Dia pindah ke Pulau Jawa membina hidup baru dan akhirnya menjadi seorang penulis terkenal lagi kaya, punyai syarikat sendiri di Surabaya. Aku tersentuh bagaimana dia bangun dari gugurnya lalu menawan puncak gunung kejayaan.

Tahukah engkau lagi wahai Khadijah, baru semalam juga aku habiskan satu daripada bab dalam buku "Deep Thinking" karya Harun Yahya. Bab ini bertajuk "Berfikir Ketika Berdepan Dengan Kesukaran Dalam Pekerjaan". Ia menyatakan yang kesukaran dalam hidup adalah ujian kepada hamba Tuhan. Dan kesukaran inilah juga laluan yang terbaik untuk mereka. Sang penulis menambah lagi dengan ayat dari Kitab yang Mulia, dari Surah Al-Baqarah dari ayat yang ke-216 yang berbunyi:

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Memang Dia adalah Yang Alim lagi Hakim, perancang segala perkara kebetulan. Tidak ku sangka bahawa nasihat-nasihat dalam kedua-dua buku yang baru aku habiskan semalam itu amat berguna kepadaku hari ini. Ajaib benar...Subhanallah. Maha Suci Dia Tuhan Yang Maha Agung.

Sahabatku!

Kalau engkau perhatikan sirah pula sahabatku, engkau pasti aku menyedari bahawa penghulu segala nabi jua pernah bertemu dengan kecundang. Bapa saudaranya, Abu Thalib tidak memeluk Islam sehingga wafat. Dia ditentang habis-habisan oleh penduduk Thaif di awal tahun kesebelas kenabian sehingga luka tubuhnya dilemparkan dengan Hajar(Batu). Tetapi, di penghujung jalan hidupnya, bukan seorang, bukan satu bandar, tapi seluruh semenanjung Hijjaz menerima sinar sejahtera Islam.

Temanku!

Memang semakin benar temanku, sesungguhnya Tuhan memang mahukan hambaNya ini meneruskan hayatnya dengan jalan yang yang telah ditentukanNya. Tuhan mahukan hambaNya ini rancang perjalanan hidupnya yang baru dalam mengejar apa yang dia impikan. Maka Khadijah, andai keputusan semakan semula tidak dapat membantuku untuk terus menyusuri jalanku sebelum ini, nescaya aku akan melanjutkan sahaja pelajaranku dalam universiti tempatan dalam bidang yang sama dengan sebelum ini. Usah kau ragu-ragu kerna akan aku siasat terlebih dahulu pilihanku nanti.

Kemudian akan aku cari peluang untuk bekerja dengan syarikat kejuruteraan tempatan. Kemudian pula, aku akan titiskan keringatku untuk masuk semula ke dalam Syee'Ar* dan berkhidmat sebagai seorang jurutera di sana dalam masa 10 tahun 'kareer'ku. Aku berjanji akan aku tebus semula maruahku dengan tanganku ini. Biar aku tunjukkan pada dunia bahawa seorang yang jatuh ke dalam gaung akan dapat naik semula ke jalan biarpun terpaksa berhadapan dengan onak dan duri rimba.

Memang benar aku telah kehilangan giliranku untuk menjejakkan kakiku ke bumi Musa A.S itu buat masa terdekat, tapi siapa kata aku tak dapat untuk memperolehi semula giliranku itu di masa hadapan. Mungkin giliran itu akan Tuhan berikan kemudian setelah aku punyai harta yang cukup untuk bersiar-siar ke sana, mungkin juga giliran itu akan Tuhan berikan kemudian untuk aku sambung pengajianku di sana. Tuhan itu Maha Kuasa dan tidak ada kuasa lain yang dapat mengatasi kuasaNya. Hamba yang lemah ini pun tidak tahu apakah yang akan Tuhan berikan padaku kelak. Tapi aku tidak akan berhenti mencuba untuk membuktikan yang aku boleh lakukannya.

Rakanku!

Tatkala ini, aku benar-benar berasa syukur kerana dikurniakan dengan ni'mat Iman dan Islam. Dengan ni'mat inilah, saudarimu ini ada tempat berharap dan mengadukan nasib. Dengan ni'mat inilah, saudarimu ini tahu kalimah redha. Dengan ni'mat ini jualah, saudarimu ini belajar untuk bangkit berpandukan ayat-ayat suci lagi kudus, hadith nabi junjungan dan sirah nabawiyah. Walaupun ditimpakanNya aku musibah, aku berasa sangat bersyukur kerana kepercayaan aku terhadapnya semakin bertambah. Subhanallah...Maha Suci Dia Yang Maha Tinggi.

Sahabatku yang kucintai,

Dalam Kitab Suci juga ada mengatakan andaikata engkau berhadapan dengan kesusahan, ucaplah innalillahi wa inna ilahi raji'un. Maka kini aku ingin nasihatkan engkau perkara yang sama. Andaikata engkau temui apa yang aku temui, janganlah engkau mudah menyerah kalah dalam jihadmu walau engkau digugurkan, walau tubuh dikau dibedil dengan peluru musuh,walau nyawamu hanyalah nyawa-nyawa ikan, selagi engkau boleh berjuang, angkatlah senjatamu, bangkit dan teruslah menggempur kubu musuh. Jangan sesekali engkau berhenti separuh jalan. Ketahuilah olehmu, dalam jihadmu ini, antara dua pasti terjadi, tunggulah syahid atau menang.

Sebelum aku mengangkat kalamku ini, aku mahu engkau tahu wahai sahabatku, aku benar-benar ingin berterima kasih di atas sumbangan engkau seketika kita bersama. Ku susun kesemua jari-jemariku memohon maaf sekiranya tersalah bahasa tersilap kata sepanjang tempoh aku bersama engkau. Mohon maaf kerana kemungkinan aku tidak mampu untuk bersamamu di sana kelak. Do'akan kejayaan hidupku, sesungguhnya aku tidak pernah berhenti berdo'a untuk kejayaan kita berdua. Teruskan perjuangan hidupmu. Kirimkan suratmu setibanya kamu ke sana.


Siti Dzulaikha