Thursday, February 28, 2008

Wahai Mujahid - Berjuang untuk berkorban

Dalam usrah semalam, saya mengajak ahli-ahli usrah untuk mengenang kembali berapa kali kami mengingati Allah sepanjang seminggu kami tidak bertemu. Tidak dapat dinafikan, peringatan ini merupakan peringatan buat diri sendiri.

Baru pagi ini, saya memasang lagu kumpulan 'The Zikr', kumpulan Raihan sebelum dikenali dengan nama Raihan. Suara Nazrey yang serak-serak basah ini benar-benar mencucuk qalbu saya. Kata-kata lirik yang disampaikan seolah-olah ditujukan kepada saya. Saya senaraikan antara petikan-petikan kata yang benar-menar menyentuh jiwa saya, saya sarankan sahabat sekalian dengar lagu-lagu ini di kamar sahabat sendirian:

1)Mengemis Kasih -
"Tuhan, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmatMu melangit luas, Harga selautan syukurku hanyalah setitis nikmatMu di bumi "

2)Wahai Mujahid -
"Memang berjuang itu terkorban, kerana kita berjuang untuk berkorban, itulah asam garam perjuangan, syarat mencapai cinta Allah"
"Tempuhilah penderitaan di dalam perjuangan, kerana itu adalah penghapus dosamu"

Aku adalah insan biasa yang lemah, tak lari dari kesilapan, tak lari dari kesalahan, tak lari dari dosa noda. Salah mentadbir diri, salah mentadbir keluarga, salah mentadbir saudara-mara, salah mentadbir rakan-taulan, salah mentadbir mereka di bawah pimpinan, salah-salah-salah...

Aku ingin jadi macam Rasulullah, insan kekasih Allah. Insan yang paling dikasihi dan diredhai Allah. Siapa yang tidak ingin jadi sepertinya.

Aku cuba berjuang mencapai Redha Allah. Berjuang dengan tenaga, fikiran, dan masa. Perjuangan ini pahit. Aku tak mampu jadi seperti sahabat lain. Gembira di dunia. Mereka punyai masa untuk bersenang. Tapi, aku tidak, begitu mahal cinta dan redha Allah ini. Inilah jalan yang aku pilih. Jalan ini jugalah pernah dilalui oleh Rasulullah. Jalan Penderitaan.

Jalan ini tidak mudah. Jasad menjadi letih, 'Aqal juga begitu. Terpaksa aku ke hulu dan ke hilir jalan ini. Tidak kurang juga waktu aku ditekan ditolak, hanya sabar menjadi peneman. Moga penderitaan yang aku lalui ini menjadi penghapus dosaku...

Ya Allah moga minggu ini lebih baik dari minggu yang lepas...