Tuesday, September 1, 2009

Ucapan Dasar Mantan Presiden PPI UNITEN pada Muktamar Sanawi ke 11

IttaquLlah! Takutlah kalian kepada Allah. Bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Salawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berpeganglah dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Nescaya kamu tidak akan tersesat dengannya.

SIGNIFIKAN GOLONGAN MUDA DALAM SEJARAH

Sejarah menjadi bukti, pemuda menabur bakti dan mempamer sakti. Dunia yang besar mampu digoncang dalam usia yang kecil.

Sejarah yang dipertayangkan mempersaksikan kepada kita kisah-kisah pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang mampu mengubah sejarah ketamadunan dunia.

Sejarah membawakan kita kisah pemuda pemudi di Afghanistan yang juga memegang status mahasiswa seperti kita, berjaya menyatu-padukan puak-puak di Afghanistan lalu berjaya menumbangkan kuasa besar dunia ketika itu iaitu kerajaan Soviet Union.

Sejarah membawakan kita kisah mahasiswa mahasiswi Indonesia, bangkit menumbangkan pemerintahan kuku besi Soekarno.

Di China pula sejarah sekali lagi membawakan kita kisah pemuda-pemudi Cina bangkit menggulingkan dinasti bermaharaja di China dan akhirnya menubuhkan Negara komunis China

Kalau kita ke belakang beberapa zaman, kita akan bertemu dengan satu zaman, zaman terbaik dari sekalian zaman, zaman yang mempamerkan lebih banyak bukti pengaruh dan kuasa pemuda dan pemudi dalam mengubah sejarah dunia. Itulah zaman yang dipimpin oleh nabi agung kita, Nabi Muhammad SAW.

Di sini, sejarah membawakan kita kisah baginda yang ketika itu berusia baru 40 tahun berjaya mencipta tamadun dunia yang ulung yang kita rasa kesannya sehingga hari ini.

Dalam kitab “Hayatu Muhammad” karya Dr. Hussain Haikal menyebutkan, pada awal da’wah Nabi di Mekah, Nabi diutuskan, Nabi dibangkitkan bersama anak-anak muda. Saidina Abu Bakar Bin Abdullah Bin Quhafah, umurnya 38 tahun. Zubair Al-Awwam, umurnya 16 tahun. Diceritakan bahawa Arqam bin Abi al-Arqam yang menjadikan rumahnya sebagai pengkalan da’wah, sebagai markaz tarbiyah, umurnya 16 tahun. Saidina Ali umurnya belasan tahun. Mus’ab bin Umair yang memulakan da’wah di Madinah umurnya 20 tahun. Semuanya anak-anak muda. Sebaliknyayang menentang da’wah adalah orang-orang tua yang tak mahu berubah.

Ini bukti kuasa pemuda. Ini bukti kuasa pemudi. Ini bukti kuasa kalian, sangat signifikan, wahai golongan pemuda-pemudi di hadapan saya

BANGKIT WAHAI SEMANGAT BARU!

Wahai Golongan Pemuda Pemudi Semangat Baru!

Besar sebenarnya kuasa dan pengaruh kalian. Bukankan UNITEN kalian mampu gegarkan malah satu dunia kalian mampu.

Maka binalah keyakinan dalam diri kalian untuk berubah dan mengubah, belajar dan mengajar. Buanglah rasa takut dan gementar dalam diri kalian dan salurkanlah kuasa kalian dalam perjuangan menyebarkan agama Allah, agama Islam.

Buanglah rasa penat dan malas dan Berjihadlah dengan harta dan jiwa kalian di jalan Allah.

[10]
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
[11]
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[12]
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.

(As-Saff 10-12)

Jadilah seperti Umar Al Khatab Al Faruq. Jadilah seperti Khalid Al Walid Al Maslul. Jadilah seperti Tariq bin Ziad, Salahuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fatih. Jadilah pembantu dan pejuang agama Allah dalam membawakan risalah Islam ke merata dunia. Jadilah ANSARULLAH!

[14]
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!"…(sehingga akhir ayat)

(As-Saff 14)

PERJUANGAN INI INDAH: PERJUANGAN ISLAM

Jiwa dan raga untuk Islam

Tiada penat tiada jemu

Biar papa biar hina

Hanya mengharap redha Tuhan sebagai balasan.

Sahabat-sahabat pejuang, sesungguhnya perjuangan Islam itu indah. Perjuangan Islam itu manis. Walau ditimpa kesusahan, ia tetap manis.

Ingatlah saat Bilal bin Rabah diseksa oleh Umaiyah bin Khalaf ditengah padang pasir matahari terik. Itulah saat paling manis bagi beliau.

Ingatlah saat Anas bin Nadhr di medan Uhud, yang berjaya mencium haruman syurga sebelum menyerbu musuh dan akhirnya syahid

Begitu juga dengan Ja’far bin Abu Talib yang baru berusia 37 tahun di medan Mu’tah yang sebelum syahidnya melantunkan syair yang amat indah.

“ Aku bahagia, syurga yang dijanjikan sudah dekat, syurga suci yang ada minuman sejuknya. Sebaliknya kehancuran Rom pun sudah dekat, Rom adalah pihak yang bersalah kerana memerangi agama tauhid.”

Bagi mereka, indahnya perjuangan. Lebih indah apabila yang menanti adalah syurga. Mereka tidak takut susah kerana di sisi mereka adalah Allah.

Maka ayuh sahabat seperjuangan sekalian, buang segala kekurangan pada diri kalian, jadilah seorang pembantu.

Maka ayuh sahabat seperjuangan, binalah kekuatan kalian, jadilah seorang pejuang.

Maka ayuh sahabat, jadilah seorang Ansarullah! Rasailah bau-bau syurga bagi mereka yang benar-benar ikhlas berjuang di jalan Tuhannya.

PPI PLATFORM PERJUANGAN

Sidang Mu’tamirin dan Mu’tamirat.

Di UNITEN ini, platform perjuangan kita adalah melalui Persatuan Pengajian Islam, PPI. Misi kita adalah untuk menyebar luaskan kefahaman Islam kepada seluruh warga kampus. Kita akan berusaha sehingga setiap dari kalangan sahabat mahupun guru kita merasai kenikmatan Islam. Baik cina mahupun india, kita mahu mereka faham tentang Islam. Di sinilah peranan sahabat-sahabat pejuang dan pembantu agama Allah sekalian.

Namun tanggungjawab itu amatlah banyak dan besar. Bak kata Asy Syahid Imam Hassan Al Banna “Al Wajibat Aktharu minal Auqat” – kewajipan itu lebih banyak dari masa yang ada. Kita perlu kepada perancangan yang teratur, dan tenaga yang ramai. Kita perlukan setiap seorang dari kalian untuk turut memberi sumbangan harta dan jiwa kalian. Dan dalam masa yang sama kita perlu untuk menjana lebih banyak ahli yang sedar akan tuntutan menyebarkan agama ini. Di situ datangnya peranan SMART GROUP.

SMART GROUPS: PELUANG DAN MASALAH

Sesi kali ini sangat memberi fokus keberjayaan program SMART GROUP(SG) atau usrah. Bahkan beberapa dari kalangan sahabat kita terpaksa berkorban memegang 2 ke 3 SG dalam memastikan ianya berjaya mencapai sasaran yang diinginkan. Hanya Allah sahaja mampu membalas jasa kalian.

SG penting dalam menjana pelapis-pelapis pendokong Islam di UNITEN ini. Ramai dari ahli SG ini akhirnya menjadi pemimpin pelajar di UNITEN. Baik di peringkat PPI sendiri mahupun MPP ataupun kelab-kelab lain. Ramai yang lahir dari sistem tarbiah atau pendidikan SG.

Di dalamnya kita cuba terapkan pendidikan dari segenap aspek. Aspek kerohanian dijadikan tunjang dalam membawa perkembangan aspek-aspek lain. Itulah Islam. Aspek kerohanian menjadi pemacu kepada perkembanga seorang Muslim. Akhirnya lahirlah pemimpin yang bukan sekadar pemimpin malah pemimpin yang mengikut acuan Islam.

Namun begitu, tak dapat dinafikan, masalah memang timbul. Kita sebenarnya kekurangan mereka yang sanggup untuk menjadi naqib lalu menyebabkan kes yang saya katakana seorang naqib memegang 2 ke 3 SG. Sedangkan posisi ini amat penting bagi memastikan SG terus wujud. Oleh itu, di kesempatan ini, saya ingin mengajak kalian untuk cuba membantu barisan saf pimpinan yang akan naik, untuk memantapkan lagi sistem di masa mendatang.

MEMBUDAYAKAN ILMU : PROSES TA’LIM WA TA’LUM

Selain itu pada sesi kali ini, kami juga cuba untuk membudayakan ilmu di kalangan pelajar UNITEN. Kita cuba wujudkan pelbagai medium dan ruang untuk kita sebarkan risalah Islam. Kita ada Yahoo Group, kita ada laman web, kita ada majlis tazkirah, dan pelbagai lagi medium yang cuba kita wujudkan. Alhamdulillah, ianya berjalan tetapi ia masih memerlukan sokongan dan bantuan dari sahabat-sahabat penolong agama Allah sekalian.

Segmen tazkirah sebelum Solat Zohor mempunyai peluang untuk dijadikan sebagai satu budaya. Namun begitu, banyak lagi ruang perlu dibaiki. Kita merancang hendak meluaskannya ke COIT namun masih lagi tidak berjaya. Program sebegini memerlukan sokongan yang padu dari setiap seorang dari kita.

MEMBINA JAMBATAN KERJASAMA

Dari segi hubungan luar, kita berjaya mengadakan kerjasama dengan pihak Pusat Pengajan Islam dan Peradaban, Sahabat Al Quran, Sahabat Al Farabi, Unit Keselamatan, Persatuan Silat Cekak, Aman Palestin dan bermacam lagi. Begitu juga dengan PPI kampus Muadzam dan beberapa kampus lain.

Kita mengharapkan jaringan lebih luas akan dilaksanakan. Sebenarnya ada dalam perancangan kami, satu mesyuarat khas yang menggabungkan badan-badan Islam di UNITEN untuk berbincang mengenai masa depan Islam di UNITEN. Namun ianya masih tak kesampaian atas beberapa sebab teknikal. Saya mendoakan perkara sebegini akan dapat terlaksana bagi memastikan kelangsungan Islam di UNITEN.

MASALAH TERBESAR

Sidang Hadirin dan Hadirat.

Perkara yang menjadi masalah terbesar kita adalah “manusia”. Kita kekurangan tenaga. Kita kekurangan kemahiran. Ada yang sanggup menyumbang tidak berkemahiran dan sebaliknya ada yang berkemahiran tidak sanggup menyumbang. Barangkali pendekatan yang diambil kurang berkesan. Maka dalam mengatasi masalah ini, kita memerlukan sumbangan dan kesudian kalian. Kalian perlulah sanggup untuk mengorbankan diri kalian untuk agama Allah. Kalian haruslah yakin bahawa pengorbanan ini adalah pengorbanan mulia, dihormati dan diganjari. Mungkin tidak di dunia tetapi di akhirat yang kekal abadi.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin memohon maaf atas segala kelemahan barisan pimpinan PPI sesi kali ini. Sesungguhnhya kami adalah manusia dan manusia tidak lari dari kesalahan. Sesunnguhnya kami sudah mencuba yang terbaik tetapi mungkin tidak mencapai harapan kalian. Maka di kesempatan ini saya mewakili saf pimpinan PPI 2008/2009 memohon maaf sekali lagi atas segala kekurangan.

Saya mendoakan agar barisan saf pimpinan hadapan akan menjadi lebih baik dari kami. Saya mendoakan PPI akan berjaya mencapai visi dan misi persatuan da’wah ini. Saya juga mendoakan agar seluruh ahli PPI agar terus istiqamah dalam perjuangan ini. Semoga perjalanan hidup kalian dalam PPI terus dilimpahi dengan manfaat dari Allah SWT. Semoga kalian Istiqamah dalam PPI. Semoga kalian terus istiqamah dalam PPI. Amin~.

Terkadang terlajak, terkadang tersasul,

Bermadah biar bagai resmi padi,

Kitab Allah Sunnah Rasul,

Pegangan untuk bahagia abadi.

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, wabiLlahi taufiq wal hidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.