Wednesday, May 12, 2010

Apabila Akhbar Melayu Mendapat Saham dari Sektor Perjudian


1. Yang halal adalah jelas dan yang haram adalah jelas. Berjudi itu haram. Itu sudah jelas. Al Quran sendiri menegahnya.

2. Baru-baru ini saya kerap membaca sebuah akhbar berbahasa Melayu di tempat kerja baru saya. Akhbar ini sangat popular di kalangan masyarakat kebanyakan khususnya yang berbangsa Melayu. Peminatnya di Facebook sahaja hampir mencecah 58000 orang dan majoritinya adalah orang Melayu beragama Islam.

3. Yang menarik perhatian saya ialah kewujudan iklan-iklan perkhidmatan untuk mendapatkan keputusan nombor ekor melalui SMS berbahasa Melayu di dalam akhbar berkenaan. Dan iklan-iklan berkenaan bukan sedikit tetapi hampir mengambil 3 muka surat dari akhbar berkenaan.

4. Ini bermakna akhbar berkenaan pastinya mendapat habuan daripada menyiarkan iklan sedemikian. Dalam erti kata lain, ia mendapat saham daripada sektor perjudian.

5. Beberapa persoalan timbul.
(a) Apakah motif akhbar berkenaan menyiarkan iklan berkenaan?
(b) Adakah kerana semata-mata mendapatkan keuntungan dari hasil penyiaran iklan berkenaan tanpa mengambil kira latar belakang pembacanya?
(c) Tiadakah sebarang penapisan dibuat sebelum iklan-iklan ini disiarkan?

6. Yang menyebabkan saya lebih bingung ialah apabila mengetahui yang pemilik syarikat akhbar berkenaan dan editor akhbar berkenaan adalah mereka yang beragama Islam.

7. Mereka seolah-olah menggalakkan orang Melayu terlibat dengan perjudian. Tindakan mereka seolah-olah menghalalkan satu perkara yang terang-terang haram.

8. Ketahuilah bahawa berjudi itu salah satu dosa besar (Al Baqarah : 219). Maka janganlah kita terlibat dengannya.

9. Dan menghalalkan satu perkara yang haram juga adalah berdosa. Kalau anda punya kuasa, dan anda membenarkan perjudian. Itu juga berdosa. Tidak kiralah judi nombor ekor ataupun judi Piala Dunia. Ia tetap berdosa.

10. Mulai hari ini, saya melancarkan kempen memboikot pembelian akhbar berkenaan! Saya juga ingin mengajak sahabat-sahabat agar jangan beli akhbar ini selagi mana masih terdapat iklan-iklan perjudian. Saya juga mengajak kita memboikot mana-mana pihak yang mempunyai kuasa tetapi terlibat menghalalkan perjudian.