Sunday, May 9, 2010

Mengingati Abdullah di Mu'tah

Bulan Jamadil Awal akan berakhir tidak lama lagi. Jamadil Akhir bakal menyusup tiba. Sebelum detik itu berlaku, eloklah kita mengingati satu peristiwa penting yang berlaku di bulan Jamadil Awal ini iaitulah Perang Mu'tah dan Kisah salah seorang komando Islam - 'Abdullah Bin Rawahah.

'Abdullah bin Rawahah adalah seorang penyair yang mampu mengungkapkan syair-syair yang indah. Apatah lagi di medan Mu'tah. Sebelum berangkat ke medan jihad itu, beberapa sahabat telah mendoakan untuk para pejuang-pejuang itu "Semoga Allah SWT membawa kamu pulang dengan selamat bersama kejayaan dan semoga Allah SWT memelihara kamu daripada segala keburukan."

Sebagai sahutan daripada doa itu, Hazrat 'Abdullah bin Rawahah telah membaca tiga rangkap syair yang bermaksud,

"Aku ingin supaya dosa-dosaku diampunkan oleh Tuhanku. Dan aku inginkan sebilah pedang yang akan memancutkan darahku. Ataupun satu tombak yang akan mengoyak keluarkan jantung dan tali perutku.

Apabila orang-orang lalu di tepian kuburku, mereka akan berkata, "Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan menjayakan kamu wahai pejuang.
Sememangnya engkau diberi petunjuk dan kejayaan."

Itulah dia 'Abdullah bin Rawahah yang tidak takut mengidamkan syahid di jalan Allah. Dia ditugaskan membawa panji dan tentera Islam andaikata gugurnya Zaid dan Ja'far.

Dan memang itu yang berlaku. Zaid dan Ja'far gugur. Apabila Ja'far syahid, orang ramai telah memekik memanggil 'Abdullah bin Rawahah yang pada masa itu berada di satu penjuru sedang makan seketul daging. Selama tiga hari beliau tidak mendapat sesuatu untuk makan. Sebaik sahaja mendengar panggilan itu, beliau terus membaling ketulan daging tersebut. Beliau mengutuk dirinya sendiri. "Ja'far telah syahid, tetapi kamu wahai 'Abdullah masih sibuk dengan dunia."

Beliau maju ke hadapan mengambil bendera dan mula berperang. Jarinya telah tercedera dan jari itu tergantung-gantung di tangannya. Beliau telah menekan jari yang tergantung itu dengan kakinya kemudian menarik tangannya sehingga jari itu terputus. Beliau kemudian membuang bahagian yang terputus itu lalu maju ke hadapan.

Dalam keadaan yang begitu dahsyat lagi tegang, beliau mula teragak-agak. Tiada lagi semangat dan tiada lagi kekuatan untuk melawan. Namun demikian, keraguan itu berlaku sekejap sahaja. Beliau telah berkata kepada dirinya sendiri,

"Wahai hati, apa lagi yang engkau rindukan sehingga menyebabkan engkau teragak-agak?
Adakah kerana isteri? Kalau begitu, untuknya talak tiga.
Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu, mereka semua dibebaskan.
Adakah kerana kebun? Kalau begitu, kebun disedekahkan di jalan Allah SWT.

Selepas itu beliau membaca beberapa rangkap syair yang berbunyi,

"Wahai hati sesungguhnya engkau pasti mati.
Sama ada engkau suka atau pun tidak suka.
Engkau telah hidup dengan senang lenang begitu lama.
Renunglah! Engkau hanya daripada setitis air mani.
Lihatlah, orang-orang kafir datang menyerbu orang-orang Islam.
Apakah yang terjadi kepada kamu sehingga kamu tidak lagi cinta kepada syurga?
Sekiranya kamu tidak terbunuh pun.
Akhirnya kamu pasti mati juga."

Selepas itu beliau turun dari kuda. Sepupunya datang membawa seketul daging sambil berkata, "Makanlah sedikit, tegakkan tulang belakangmu. Sudah beberapa hari engkau tidak makan." Beliau lalu mengambil daging itu. Dalam pada itu kedengaran suara serangan dari satu arah. Beliau terus membuang daging itu, mengambil pedang langsung menyerbu ke arah kumpulan musuh. Beliau terus menghayun pedangnya sehingga.... sehingga beliau gugur syahid. ALLAHU AKBAR

Ya Allah, jadikanlah hidupku ini, hidup seorang 'ulama'
dan matiku, mati seorang syuhada'